Catatan Kuliah Sastra Islam
Prof.Dr. Abdul Hadi WM di Universitas Paramadina
Tasawuf dan Puisi
Tasawuf ialah bentuk spiritualitas atau jalan kerohanian dalam Islam. Sebagai bentuk spiritualitas atau ajaran kerohanian, tasawuf mulai muncul dalam sejarah Islam pada awal abad ke-2 H atau 8 M. Orang yang mengamalkan tasawuf disebut sufi. Karena itu dalam bahasa Inggris, tasawuf juga disebut sufism (sufisme). Disebabkan dekatnya dan kemiripan antara pegalaman kesufian yang bersifat mistikal dengan pengalaman estetik seniman, tidak mengherankan jika sejak awal telah banyak sufi melibatkan diri dalam kegiatan sastra, terutama puisi. Ini karena puisi merupakan penuturan simbolik, yang cara penyampaiannya berbeda dengan bahasa keilmuan dan falsafah.
Peranan penting puisi dalam kehidupan sufi berakar dalam upacara sama`(audisi). Secara harafiah kata sama’ berarti mendengarkan puisi dan musik bersama-sama. Dalam perkembangannya sama’ menjelma sebagai konser musik kerohanian yang disertai tari-arian, nyanyian dan pembacaan puisi. Melalui alunan musik dan puisi yang dibacakan perasaan mereka begelora, Melaluinya pula pengalaman religius mereka meningkat, oleh sebab pengalaman keagamaan berkaitan dengan sesuatu yang sifatnya kerohanian dan transendental, dan sesuatu yang rohaniah hanya bisa dicerap secara intuitif (dharuri) dan perasaan.
Beberapa sarjana mengatakan bahawa kata sufi berasal daripada kata ‘safi’ yang dalam bahasa Arab bermakna suci atau bersih. Memang jalan kerohanian sufi dimulai dengan penyucian diri (tadhkiya` al-nafs) dan penyucian kalbu (tadhkiya` al-qalb). Tujuan penyucian diri dan kalbu dimaksudkan untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan. Di samping itu jalan kerohanian sufi ditempuh dengan maksud agar seorang salik (penempuh jalan kerohanian) lebih mengenali diri mereka dan hakikat bahawa manusia merupakan makhluq kerohanian, bukan semata-mata makhluq kejasmanisan dan sosial.
Jalan tasawuf dimulai dengan penngendalian nafsu-nafsu rendah (nafsu amarah dan nafsu lawamah) dan penyucian kalbu dan fikiran daripada ingatan kepada yang selain Tuhan. Apabila jiwa, iaitu kalbu dan fikiran seseorang telah sepenuhnya dipenuhi ingatan kepada Yang Satu maka penglihatan hatinya akan mengalami pencerahan. Timbulnya pencerahan dalam hati seseorang akan menyebabkan penglihatannya jernih dan bening terhadap segala sesuatu, dan dia dapat menyaksikan hakikat di balik bentuk-bentuk lahir yang banyak di dunia ciptaan.
Berlandaskan kenyataan bahawa tasawuf merupakan jalan penyucian diri para sarjana berpendapat bahwa kata tasawuf atau sufi berasal daripada kata safi, yang dalam bahasa Arab bermakna suci atau bersih. Beberapa sarjana lain mengatakan bahwa kata sufi berasal dari kata suf, yakni bulu domba. Dalam perkembangannya yang awal para sufi sememangnya biasa memakai jubah bulu domba yang kasar. Jubah bulu domba merupakan lambang kebersahajaan (faqr), keikhlasan dan pengurbanan Kebersahajaan, keikhlasan dan pengurbanan merupakan sikap-sikap jiwa paling penting dalam tasawuf di samping tawakkal dan kegemaran melakukan amal saleh yang lain.
Seperti golongan zuhudiyyah para sufi tidak menyukai gejala materialisme dan kemewahan yang berlebihan. Materialisme dan pola hidup mewah dapat menjauhkan diri daripada Tuhan dan jalan agama yang sebenar. Pemakaian jubah bulu domba pula memiliki kaitan dengan pengurbanan (qurb), sebab sudah lazim domba dijadikan khewan kurban. Berkurban yang dimaksud di sini ialah mengabdikan diri sepenuhnya dalam jalan agama.
Menurut para sufi satu-satunya jalan untuk menyelamatkan masyarakat daripada bencana keruntuhan dan kemerosotan moral ialah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, mempertingkatkan sikap tawakkal dan memperbanyakkan amal saleh. Ajaran para sufi ini jelas selari dengan ajaran al-Qur`an. Dalam mendekatkan diri kepada Tuhan para sufi yang awal mulai dengan menanamkan sikap zuhud dan tawakkal, memperbanyak amal ibadah dan kebajikan sosial.
Tasawuf pada mulanya merupakan gerakan sosial keagamaan yang bersahaja. Tetapi kemudian tumbuh menjadi sejenis ajaran dan falsafah hidup tersendiri. Para sufi tidak berpuas hati dengan ajaran tentang sikap zuhud dan tawakkal yang diajarkan para sufi yang awal. Dalam perjalanan masa mereka kemudian mengembangkan doktrin kerohanian yang lebih tinggi yang disebut doktrin cinta ilahi. Menurut mereka hanya cinta (mahbbah wa `ishq) yang dapat membawa seseorang dekat kepada Tuhannya, sebab sifat Tuhan yang paling utama ialah Maha Pengasih dan Penyayang (al-rahman dan al-rahim). Menurut mereka pula hakikat ajaran semua agama ialah Cinta. Dalam agama Islam ajaran tentang Cinta berkaitan erat dengan ajaran Tauhid, kepercayaan bahawa Tuhan itu satu.
Dan hanya jalan itu yang dapat membawa seseorang mengenal hakikat ajaran Tawhid, yaitu penyaksian bahawa Tuhan itu satu.
Cinta mempunyai makna yang luas. Di antaranya ialah keimanan yang dalam dan kukuh, ketaatan menjalankan perintah agama dengan perasaan bebas, membuang semua kecenderungan kepada yang selain Dia dan mengisi kalbu dan fikiran hanya dengan ingatan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Kata mahabbah itu sendiri berasal dari kata hubb, yaitu kendi yang penuh berisi air sehingga tidak ada tempat lagi untuk yang lain. Dalam cinta sejati tidak ada tempat lain dalam kalbu dan fikiran seorang pencinta selain tempat untuk Dia Yang Satu..
Cinta juga sering diartikan metode atau pengalaman intuitif tentang hakikat, sebab dalam memperolehi pengetahuan tentang yang dicintai seseorang tidak hanya menggunakan akal dan pikiran, melainkan juga penglihatan hati. Penglihatan hati juga disebut intuisi Menurut para sufi sifat Tuhan yang paling nyata ialah Maha Pengasih (al-rahman) dan Maha Penyayang (al-rahim). Kedua-dua sifat ini sama dengan Cinta. Karena sifat nyata dan hakiki ketuhanan ialah Cinta maka jalan mendekatkan diri dengan Tuhan ialah jalan Cinta Menurut para sufi pula asas penciptaan dunia ialah Cinta dan segala sesuatu ini diatur oleh-Nya beradasarkan asas Cinta. Cinta merupakan asal-usul kewujudan manusia di atas bumi.
Apakah yang disebut tasawuf, sama ada sebagai jalan kerohanian ataupun ilmu kerohanian. Dalam bukunya Madkhal ilm Tasawwuf al-Islam (1985) Abu al-Wafa` al-Taftazani menyatakan:
Tasawuf ialah jalan kerohanian dalam Islam yang bertujuan mempertingkatkan moral. Yang dimaksud moral di sini ialah moral atau adab antara seorang hamba dengan Tuhannya, moral antara seseorang dengan dirinya sendiri dan moral antara seseorang dengan orang lain atau sesama manusia”. Moral di sini bermakna perbuatan baik dan bertanggungjawab, serta dilandasi ajaran tauhid dan apabila moral seperti itu dilaksanakan maka akan timbul hubungan yang baik antara manusia dengan Tuhan, dirinya sendiri dan manusia lain.
Tauhid sendiri sebagai ajaran utama Islam mengandung aspek moral atau etika. Sebagai landasan moral Tauhid mengajarkan bahawa amal perbuatan seseorang itu harus dipertanggungjawabkan bukan hanya kepada diri sendiri dan masyarakat, tetapi terutamanya mesti dipertanggungjawabkan kepada Tuhan. Tauhid dinyatakan dalam bentuk hukum syar`i atau syariat agama. Intipati syariat ada empat, iaitu:
- Aqidah atau asas keyakinan;
- Ibadah;
- Mua`amalah (amal perbuatan);
- Akhlaq.
Dalam tasawuf proses penyucian diri dimulai dengan membetulkan akidah, ketaatan melaksanakan ibadah wajib dan sunnah, termasuk zikir, wirid, puasa isnin khamis, memperbanyak mua`amalah dan amal jariyah, serta menyempurnakan akhlaq.Dalam bukunya Muqadimah (abad ke-15) Ibn Khaldhun mengatakan:
Ilmu tasawuf termasuk salah satu cabang ilmu-ilmu Islam yang baru berkembang selepas ilmu-ilmu Islam lain. Asal-usulnya bermula daripada generasi pertama umat Islam pada zaman Baginda Rasulullah, yaitu daripada kalangan Sahabat, Tabi`in dan generasi selepas mereka. Pada mulanya ia merupakan ikhtiar untuk memusatkan diri dalam ibadah, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah, penghindaran diri daripada pesona dunia dan materialisme yang melampaui batas, penjauhan diri dari kemewahan, harta dan pangkat yang mubasir, zuhud.
Kegemaran bertafakur dan beribadah.
Ajaran sufi didasarkan atas al-Qur`an dan Sunnah Rasul. Nasiruddin al-Tusi dalam bukunya Kitab al-Luma` mengatakan bahawa secara khusus para sufi menaruh perhatian terhadap perkembangan moral. Hal ini sesuai dengan anjuran Rasulullah dan para sahabat. Jalan menuju Allah dimulai dengan latihan kerohanian dan kemudiannya secara bertahap menempuh berbagai fase yang dikenali dengan istilah maqam (peringkat kerohanian) dan ahwal (keadaan jiwa), dan berakhir dengan makrifat dan fana’ (persatuan mistikal) dengan Yang Haqq.
Yang disebut maqam ialah tahapan-tahapan kerohanian yang dicapai selepas seseorang melaksanakan ibadah dan latihan kerohanian tertentu. Contoh maqam ialah taubat, zuhud, wara` (menyucikan diri), hidup bersahaja (faqr), sabar rela (ridha), tawakkal dan sebagainya. Mengenai ahwal (kata jamak daripada hal) ialah keadaan-keadaan jiwa yang terbit pada ketika melakukan ibadah dan jalan penyucian diri.. Di antara keadaan-keadaan jiwa atau rohani yang dicapai itu ialah muraqabah (penumpuan perhatian kepada Yang Satu semata), qarib (kehampiran), `ishq, takut, harap, uns (dekat), tenteram, musyahadah (penyaksian penuh bahawa Dia satu), haqq al-yaqin (percaya secara dalam) dan sebagainya.
Menurut Abu Nua`ym al-Isfahani dalam Kitab Hilyat al-`Awliya (Hiasan Para Wali) para ahli sufi termasuk di dalam golongan orang yang waspada terhadap akibat buruk materialisme dan kewaspadaannya didasarkan pada keyakinan tentang kebenaran wahyu ilahi. Mereka berikhtiar supaya tidak lalai melaksanakan kewajiban agama. Mereka dapat bergiat dalam bidang perniagaan dan sosial, tetapi semua itu tidak menyebabkan dia lalai mengingat (zikir) Allah dan memahamkan hikmah yang diajarkan dalam kitab suci-Nya.
Sesungguhnya pada awalnya tasawuf merupakan satu disiplin Ilmu yang tidak terpisah dari ilmu-ilmu Islam yang lain seperti ilmu fiqah dan ilmu kalam. Pemisahan baru terjadi pada abad ke-3 H atau abad ke-9 M sebagai akibat dikembangkannya pengkhususan (spesialisasi) ilmu yang lebih terperinci. Ilmu fiqah lantas hanya membahas aturan-aturan formal agama, termasuk ibadah dan muamalahnya. Ilmu kalam hanya membahas masalah teologi atau ketuhanan dan dasar-dasar rasional kepercayaan kepada Tuhan. Sedangkan ilmu tasawuf membahaskan masalah spiritual dan akhlaq, termasuk metafisika, estetika, psikologi dan jalan-jalan mendekatkan diri kepada Tuhan secara rohaniah. Dengan itu tasawuf membahas masalah yang berkenaan hakikat ajaran agama dan cara-cara memahamkan serta cara-cara mencapainya.
Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas Abu al-Wafa` al-Taftasani merumuskan bahawa tasawuf mempunyai lima ciri utama: (1) Tasawuf bertujuan mempertingkatkan moral melalui jalan tawakkal dan cinta.; (2).Tujuan lainnya ialah makrifat dan persatuan mistikal dengan Yang Satu; (3) Para sufi mengutamakan metode intuitif, iaitu cinta dan makrifat, dalam mencapai pengetahuan tertinggi atau pengetahuan tentang hakikat tertinggi; (4).Mengutamakan kedamaian dan ketenteraman hati melalui keyakinan yang dalam kepada Tuhan, dan dengan demikian tercapai kepuasaan, keridhaan dan kebahagiaan; (5) Para sufi lazim menggunakan tamsil atau simbol-simbol dalam mengungkapkan gagasan dan pengalaman kerohanian mereka. Karena itu kesusastraan berkembang dalam tradisi sufi, terutamanya puisi, muzik dan tari keagamaan..
Perkembangan dan Tokoh
Puisi sufi menumpukan perhatian terhadap Yang Abadi atau Yang Kekal, dan kerinduan akan Kehadiran Yang Satu. Kerinduan dan kesabaran menunggu kehadiran Yang Satu dalam penglihatan kalbu merupakan satu di antara tema-tema penting karya para penyair sufi. Misalnya sebagaimana nampak dalam sajak Abdul Samad al-Raghasi (w. 816 M) berikut:
Pada suatu hari awan dari-Mu melindungi daku
Kilatan cahaya menyilau mata, namun menyembunyikan hujannya lagi
Dan dalam kegelapan tak kujumpai jalan, sehingga aku putus asa
Namun air tak turun, maka aku pun dahagakan air-Mu
Mestilah diingat bahawa terdapat perbedaan antara puisi zuhudiyyah dengan puisi sufi. Apabila golongan zuhudiyyah gemar membicarakan hukuman di Hari Akhirat, perkara syurga dan neraka, maka para sufi tidak begitu memberi perhatian terhadap masalah-masalah tersebut. Menurut para sufi mencintai Tuhan bukanlah untuk mengharap masuk ke dalam syurga atau terbebas daripada neraka. Mestilah diingat juga bahawa walaupun para sufi menolak terikat pada dunia dan tidak menyukai materialisme, namun mereka mencintai kemanusiaan dan keindahan dunia, karena alam kejadian dan kemanusiaan merupakan manifestasi daripada daya cipta-Nya dan juga manifestasi daripada Cinta dan Keindahan-Nya. Pandangan para sufi jelas lebih optimis dibandingkan pandangan golongan zuhudiyyah. Tidak sedikit di antara mereka bergiat dalam bidang kemasyarakatan dan pendidikan.
Para sufi sering memetik ayat al-Qur`an, “Kemana pun kau memandang akan nampak wajah Allah” atau “Ayat-ayat Tuhan terbentang di alam semesta dan dalam diri manusia”. Yang dimaksud ‘ayat’ di sini ialah tanda-tanda-Nya yang menakjubkan, atau tanda-tanda keagungan dan keindahan pengetahuan-Nya. Dengan itu fenomena-fenomena kehidupan di dunia dapat dijadikan bahan renungan untuk menumbuhkan rasa cinta kepada Tuhan. Para sufi memandang bahawa kurnia Tuhan kepada manusia tidak terkira banyaknya, namun hanya sedikit orang yang ingat untuk mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah.
Sajak para sufi pula kadang nampak sebagai percakapan peribadi penyair dengan Tuhan, yang menunjukkan bahawa tema keakraban dengan Yang Satu merupakan tema penting dalam puisi sufi. Misalnya nampak dalam sajak Junaid al-Baghdadi berikut:
Kini kutahu, Tuhan — Siapa
Bersemayam dalam hatiku
Dalam rahsia, jauh daripada dunia
Lidahku bercakap dengan-Nya yang kupuja
Melalui sebuah jalan
Kami mendekat rapat
Terpisah jauh daripada-Nya
Berat seksa yang mendera jiwa
Walau Kau sembunyikan wajah-Mu
Jauh daripada pandangan mataku
Dalam cinta kurasa kehadiran-Mu
Yang mesra dalam hatiku
Dalam bencana mengerikan
Tak kusesali seksa yang mencabik jiwa
Hanya Kau saja Tuhan yang kurindu
Bukan kurnia atau tangan pemurah-Mu
Apabila seluruh dunia Kau berikan kepadaku
Atau sorga sebagai pahala
Aku berdoa supaya seluruh kekayaanku
Tak berharga dibanding melihat wajah-Mu
Dalam pandangan sufi dalam lubuk hati manusia yang terdalam, yang disebut sirr, ada tempat di mana manusia dapat melakukan percakapan rahsia dengan Tuhannya. Penyucian hati daripada ingatan kepada selain Tuhan, dan pemenuhannya dengan ingatan kepada Tuhan, merupakan cara agar hati layak menjadi tempat percakapan tersebut. Kadang sajak sufi, dengan mempertahankan tema cinta kepada Tuhan dan kerinduan terhadap-Nya, menggambarkan tahapan-tahapan kerohanian yang mereka lalui. Ibn `Atha misalnya menggambarkan kegunaan zikir, yang merupakan satu daripada amalan penting sufi, untuk menyuburkan ingatan dan kerinduan kepada Tuhan. Suburnya kerinduan dan ingatan kepada Yang Satu memberi peluang kepada kalbu untuk menyucikan diri. Apabila hati telah disucikan maka hati akan berkemungkinan menjadi tempat percakapan rahsia antara seseorang dengan Yang Maha Gaib. Dalam sajaknya “Zikir”:Ibn `Atha menulis, yang bermaksud:
Zikir bermacam-macam, diliputi cinta
Dan rindu dendam, ia menerbitkan ingatan kepada-Nya
Karena kekuatan zikir, nafsu menjadi lemah
Dan dapat dikendalikan olehnya
Jiwa mendapat pengaruh mendalam, duka pergi
Sehingga nafsu yang baik dapat disebar
Sadar atau tidak, zikir dapat menggulung
Hawa nafsu dan dapat mencerai beraikannya
Serta menghapusnya, kemudian
Memulihkan kekuatan penglihatan kalbu dan fikiran
Sehingga meninggi menjelma mahkota di atas kepala
Zikir ialah jalan mengenal Dia
Melalui penglihatan hati yang terang
Zikir menanam keyakinan dalam diri kita
Hingga terasa kehadiran-Nya dalam kalbu
Dan tersingkap hijab yang memisahkan kita dengan-Nya
Pada abad ke-10 Ja`far al-Khuldi (w. 939 M) menghimpun syair-syair sufi Arab sejak abad ke-8 sehingga abad ke-10 M. Di dalam antologinya beliau berjaya menghimpun ribuan puisi karya 130 penyair sufi. Sayang sekali naskhah asli buku Ja`far al-Khuldi itu sudah hilang dan belum lagi dijumpai hingga kini. Hanya sebagian kecil saja puisi-puisi tersebut dapat dijumpai dalam naskhah buku penulis sufi yang lain. Banyaknya bilangan penyair sufi yang sajak-sajaknya dihimpun oleh Ja`far al-Khuldi menunjukkan bahawa perkembangan kesusasteraan sufi sangat marak sejak abad ke-8 hingga pada abad-abad selanjutnya. Di antara puisi-puisi para sufi abad ke-8 sehingga abad ke-11 yang dapat kita baca hingga kini ialah karya Rabi`ah al-Adawiyah, Dhu al-Nun al-Misri, Sumnun bin Hasan Basri, Bayazid al-Bistami, Saqiq al-Balkhi, Sari al-Saqati, Junaid al-Baghdadi, Abu Bakar al-Syibli, Abu al-Hasan al-Nuri, Mansur al-Hallaj, Niffari, Abu al-Qasim al-Sayyani, Ahmad al-Ghazali dan lain-lain.
Kesusasteraan sufi Arab mencapai puncak perkembangannya pada abad ke-12 dan 13 dengan munculnya penulis-penulis prolifik dan pemikir tasawuf terkemuka seperti Ibn `Arabi, Sustari, Sadruddin al-Qunyawi, Ibn Atha`ilah al-Sakandari, Ibn al-Farid, Ibn Tufayl, Qushairy, Imam al-Ghazali, Najamuddin Dayah dan lain-lain. Pada masa itu tasawuf juga berkembang dengan suburnya di sebagian besar negeri Islam. Pada abad-abad itu kesusasteraan sufi bertambah subur perkembangannya dengan munculnya penulis-penulis sufi Parsi terkemuka seperti Sana`i, Abu Sa`id al-Khayr, Khwaja Abdullah Anshari, Baba Kuhi, Baba Tahir, Fariduddin `Attar, Ruzbihan Baqli, Jalaluddin Rumi, Nizami al-Ganjawi, Fakhrudin `Iraqi, Nasir Khusraw, Sa`di, Suhrawardi, Mahmud al-Shabistari, Maghribi, Jami, Karim al-Jili dan lain-lain.
Pada abad ke-16 sehingga abad ke-19 kesusasteraan sufi berkembang pula di Turki, Afrika Utara, benua kecil India (termasuk Pakistan sekarang) dan di Kepulauan Nusantara. Tokoh-tokoh kesusasteraan sufi Nusantara, khususnya yang menulis dalam bahasa Melayu dan Jawa, ialah Hamzah Fansuri, Syamsudin Sumatrani, Abdul Jamal, Hasan Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel, Raja Ali Haji, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, Sunan Gunungjati, Ki Ageng Selo, Sunan Panggung, Yasadipura, Ranggawarsita, K. H. Hasan Mustafa dan lain-lain.
Buku Bacaan:
Abdul Hadi W. M. Sastra Sufi: Sebuah Antologi. Jakarta: Pustaka Firdaus, 1985.
Fariduddin al-`Attar. Muslim Saints and Mystics (Episode from the Thadkira al-`Awliya). Translated by A. J. Artbery. London: Routledge & Kegan Paul, 1979.
S. H. Nadeem. A Critical Appreciation of Arabic Mystical Poetry. Lahore: Islamic Book Servuce, 1979.
Annemarie Schimmel. As Through as Veil: Mystical Poetry in Islam. New York: Columbia University Press, 1982.
Abu al-Wafa’ al-Taftazani. Madhkal ila ahl al-Tasawwuf al-Islam. Cairo: Dar al-Tsaqafah li al-Nasyr wa al-Tawzi, 1983. (Edisi bahasa Indonesia: Sufi Dari Zaman Ke Zaman. Terj. A. Rofi` `Utsmani. Bandung: Pustaka, 1985.
Post a Comment Disqus Facebook