Rumi Sufi

0
Sudah pun dijelaskan bahwa sajak-sajak Rumi dalam Diwan-i Shamsi Tabriz memiliki ritema dan kualiti muzik yang kaya kerana kebanyakan sajak-sajak itu dicipta dalam suasana ekstase mistikal. Sudah pun dijelaskan pula bahawa sebagaimana penyair sufi yang lain gagasan yang diungkap Rumi dalam sajak-sajaknya ialah cinta transendental (`ishq), iaitu sejenis cinta mistikal yang dapat menembus bentuk formal dan membawa pecinta kepada hakikat kehidupan yang bersifat spiritual. Cinta jenis ini, menurut Rumi, dapat menerbitkan kegairahan spiritual terhadap sesuatu yang dicintai dan dengan itu mendorong seseorang berikhtiar mengenal lebih dalam dan secara langsung yang dicintai.

Dalam sajak-sajaknya Rumi menggunakan banyak kisah-kisah yang bersifat kesejarahan atau legenda. Kisah-kisah tersebut digunakan sebagai perumpamaan (tamsil) untuk melukiskan pengalaman mistikalnya yang berkenaan cinta transendental. Image-image visual dan simbolik sajak-sajak Rumi juga kata, diambil daripada alam, peristiwa sejarah, kehidupan sehari-hari dan bentuk peribadatan. Image anggur dan cawan, alam tetumbuhan dan khaywan, kosmologi dan anthropologi. sangat digemari Rumi. Image simbolik yang juga sangat sering digunakan ialah yang berkenaan cahaya, misalnya matahari, bulan, lampu, pelita dan api. Cinta sering dilukiskan api yang nyalanya dapat menerangi kegelapan, tetapi juga api yang dapat membakar keinginan atau nafsu rendah.

Ciri lain puisi Rumi yang khas ialah pada setiap baris terakhir penyair menggunakan kata-kata Diam! atau menyebut nama Shamsi Tabriz, yang dikaitkan dengan Matahari Kebenaran, sebab kata Shams sendiri bermakna matahari dan kepribadian Shamsi Tabriz memancarkan cahaya kebenaran. Diam merujuk kepada rahsia terdalam penciptaan ialtu ‘cinta ilahi’ (`ishq-i ilahi), atau sikap jiwa yang selalu memusatkan pandangan (tafakkur, meditasi) kepada Sang Pencipta.

Rumi berpendapat bahawa untuk memahamkan kehidupan dan asal-usul kewujudan dirinya manusia mesti menggunakan jalan Cinta, bukan hanya jalan Pengetahuan. Cinta, menurut Rumi ialah asas penciptaan alam semesta dan kehidupan di dalamnya. Di sini cinta dapat bermakna kehendak yang kuat untuk mencapai sesuatu atau menjelmakan sesuatu. Cinta juga dapat diberi makna pengetahuan intuitif yang bersifat langsung, yang didasarkan pada gerak hati terdalam. Dalam kehidupan beragama cinta dapat diberi erti sebagai keimanan yang mendalam dan kukuh kepada Yang Maha Kuasa. Kalau saja cinta yang menggerakkan perputaran alam semesta dan kehidupan makhluq-makhluq di dalamnya, maka cinta pulalah yang menggerakkan kehidupan manusia menuju kebehagiaan dan kebenaran.

Cinta juga sering diberi erti sebagai kecenderungan hati seseorang yang kuat terhadap sesuatu. Cinta pada akhirnya membawa seseorang mengenal sesuatu secara mendalam, iaitu hakikat kehidupan yang terselindung di sebalik bentuk-bentuk zahir yang aneka ragam dan memukau. Kerana cinta dapat membawa manusia kepada Kebenaran Tertinggi maka Rumi berpendapat bahawa cinta merupakan sayap yang dapat membawa terbang seseorang kepada Sang Pencipta (Khaliq):

Inilah Cinta: Terbang tinggi ke langit
Setiap saat mencampakkan ratusan hijab
Pertama kali menyangkal hidup (zuhud),
Pada akhirnya (jiwa) berjalan tanpa kaki (tubuh)
Cinta memandang dunia telah raib
Dan tak mempedulikan yang nampak di mata
Ia memandang jauh ke sebalik dunia bentuk-bentuk
Menembus hakikat segala sesuatu

Dalam sajak di atas nampak bahawa Rumi memandang cinta sebagai suatu dorongan luhur dan tak tereralakkan, suatu dorongan yang membawa seseorang mencapai hakikat kehidupan yang baqa’. Hidup di dalam Yang Baqa merupakan kebahagiaan tertinggi, bebas daripada bentuk-bentuk yang memukau mata.

Semua agama, menurut Rumi, mengajarkan pentingnya cinta, iaitu cinta kepada alam kerohanian yang merupakan asal-usul kehidupan manusia. Cinta kerohanian semacam itu dapat menembus perbezaan ras, bangsa dan agama. Dalam sebuah sajaknya Rumi mengatakan bahawa hakikat manusia sebenar ialah kediriannya yang bersifat spiritual atau rohani. Diri spiritual manusia tidak berasal daripada tanah atau api, tetapi daripada Sang Maha Pencipta.

Apa yang mesti kulakukan o Muslim? Kerana aku tak mengenal diriku.
Aku bukan Kristian, Yahudi, Majusi dan bukan pula Muslim.
Aku tak berasal dari Timur atau Barat, tidak dari darat atau lautan.
Aku tidak dari alam, atau angkasa biru yang berputar-putar.
Aku tidak dari tanah, air, udara atau api.
Tidak dari bintang zuhra atau debu, tidak dari kewujudan dan wujud.
Aku tidak berasal dari India, China, Bulgar atau Saqsin.
Tidak dari kerajaan Iraq atau Khurasan.
Aku tidak berasal dari dunia ini, tidak dari alam akhirat,
Tidak pula dari syurga atau neraka;
Tidak daripada Adam dan Hawa, atau Taman Eden dan Malaikat Ridwan
Tempatku tidak bertempat, jejakku tidak berjejak.
Aku bukan milik tubuh dan jiwa, aku milik jiwa Kekasih.
Kubuang dualitas, kupandang dua alam satu semata;
Satu sahaja yang kucari, Satu yang kukenal, kulihat dan kuseru
Dialah Yang awal dan yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin.

Dalam sajak di atas Rumi pertama-tama menyatakan bahawa cinta sejati dapat membawa manusia menembus bentuk-bentuk zahir dan mencapai hakikat tertinggi kemanusiaan. Kerat terakhir sajak di atas merupakan petikan ayat al-Qur`an yang menjelaskan bahawa Tuhan itu Abadi, serta Maha Nyata dan sekaligus Maha Gaib. Tuhan itu Maha Nyata apabila manusia dapat membaca tanda-tanda kebesaran-Nya dalam penciptaan alam semesta dan diri manusia. Tanda-tanda kebesaran Tuhan dalam diri manusia ialah penciptaan roh, yang merupakan pusat kehidupan manusia. Menurut al-Qur`an roh manusia itu dihembuskan Allah ke dalam tubuh, dan dengan rohnya itu manusia menjadi khalifah Tuhan di atas bumi. Tanda kebesaran Tuhan yang lain dalam diri manusia ialah adanya akal dan fikiran yang merupakan fakulti kejiwaan utama, dan akal fikiran tidak dimiliki oleh makhluq lain kecuali manusia. Kerana memiliki akal dan cinta manusia dapat menyerap berbagai pengetahuan tentang alam nyata mahupun alam kerohanian.

Dalam sajak di atas Rumi melihat hakikat manusia dari dalam, daripada alam batin. Sememangnya secara hakikinya manusia itu makhluq spiritual dan asal penciptaan manusia bukan daripada tanah atau syurga, melainkan daripada Yang Maha Gaib. Melalui sajak di atas Rumi memperlihat dirinya sebagai penyair universal. Di dalam kerat pertama sajak di atas Rumi mengatakan bahawa mengenal hakikat diri sangat penting untuk setiap Muslim, sebab dengan mengenal hakikat dirinya manusia akan mengenal Tuhannya sebagaimana dinyatakan dalam sebuah Hadis. Dengan mengenal Tuhan secara mendalam, manusia dapat mendekatkan diri dengan Tuhannya.

Salah satu wujud cinta dalam kehidupan manusia ialah ketaatan seseorang melaksanakan syariat atau perintah agamanya, terutamanya sembahyang atau salat. Dalam tradisi Islam salat dianggap sebagai mikrajnya orang Islam atau kenaikan jiwa manusia menuju Yang Satu. Seraya membayangkan kegairahan guru spiritualnya, Shamsi Tabriz, yang sembahyangnya khusuk, Rumi menulis:

Sekarang kulihat kekasih jiwaku, mutiara segala ciptaan, terbang ke langit bagaikan roh Mustafa;
Matahari malu melihat wajahnya, di angkasa cuaca kelam kabut bagaikan hati; Cahayanya membuat air dan lumpur lebih terang daripada api. 
Kataku, “Mana tangganya untuk tempat naik, tunjukkan! Aku ingin juga terbang
ke langit!”
Ia menjawab, “Tangga tempatmu naik ialah kepalamu, sujudkan kepalamu di bawah telapak kakimu!”
Apabila kau jejakkan kakimu di atas kepalamu, maka kakimu akan mengendarari bintang-bintang!
Apabila kau ingin mengarung angkasa luas, angkatlah kakimu ke langit, mari naik!
Di hadapanmu terbentang seratus jalan menuju langit, setiap subuh kau terbang tinggi ke langit seperti seuntai doa.

Dalam sajak di atas Rumi menyatakan bahawa bentuk sembahyang orang Islam yang terdiri daripada tegak, rukuk dan sujud, merupakan simbol daripada kenaikan menuju Yang Haqiqi. Menyembah Tuhan dengan bersujud bermakna meletakkan kaki di langit, dan dalam sembahyang seseorang terbang ke langit mengendarai doa yang diucapkan. Sajak di atas dapat dirujuk pada sajak “Inilah Cinta: Terbang tinggi ke langit…” Image-image berkenaan bentuk peribadatan Islam juga dapat dilihat dalam sajak Rumi yang lain:

Dalam salat malam, tatkala matahari terbenam, jalan panca indera tertutup dan jalan menuju yang Gaib terbuka luas;
Kemudian malaikat penjaga tidur tiba menghalau roh pergi ke langit, bagaikan penggembala menghalau burung-burung.

Menurut Rumi segala bentuk ibadah, khususnya sembahyang, zikir, tafakkur dan membaca al-Qur`an (tilawah atau tartila) merupakan bentuk penyucian diri, iaitu penyucian diri dari nafsu rendah, dan penyucian kalbu.atau hari, iaitu daripada inggatan kepada selain Dia. Dalam sajak berikut Rumi menggambarkan cinta kepada dunia membuat beban jiwa manusia menjadi berat. Beban itu mesti dibersihkan sebab apabila telah bertumpuk akan menjelma sampah sarap yang mengotori jiwa Dengan menyucikan diri dan hati kesihatan jiwa akan pulih semula dan penglihatan hati akan jernih dan terang.

Dari langit setiap saat wahyu turun ke dalam kalbumu, “Bagaikan sampah berapa lamakah usia hidupmu di atas bumi? Naiklah!”
Sesiapa yang beban jiwanya berat, pada akhirnya akan menjadi sampah. Apabila sampah memenuhi tong, bersihkan!
Janganlah lumpur itu dibuat kewruh setiap kali, agar air kolammu jernih dan sampah mudah dibuang dan dukamu sembuh.
Demikian roh, bagaikan obor, asapnya lebih tebal dibanding cahayanya. Apabila gumpalan asap lenyap, cahaya dalam rumah tak akan dipermainkan lagi.
Kau sentiasa bercermin ke dalam air keruh, kerana itu bukan bulan ataupun matahari kau lihat Apabila kegelapan menutup langit, matahari dan bulan tak nampak.
Angin utara bertiup, udara segar. Untuk membawa udara segar angin sepoi bertiup pada waktu subuh.
Angin roh bertiup membuat segar dada yang sesak disebabkan derita. Nafas ringan terhela dan jiwa rasa hampa.
Di bumi roh ialah pengembara asing, negeri tanpa ruang itulah yang ia rindukan, Mengapa nafsu amarah sentiasa gelisah? .
Roh suci, berapa lamakah kau akan mengembara di bumi? Kau elang raja, terbanglah kembali kepada siul Baginda!

Menurut Rumi dalam kenyataan manusia selalu melihat ke dalam air yang keruh (dunia) sehingga cahaya bulan dam matahari (petunjuk Tuhan) tidak nampak. Kegelapan dalam hati manusia sendirilah yang membuat manusia tifak dapat melihat matahari dan bulan yang sebetulnya bersinar di dalam dirinya. Rumi juga menyatakan bahawa sembahyang menyembuhkan jiwa manusia dari duka yang dideritanya. Cinta ialah seperti sembahyang, dapat menyembuhkan manusia daripada duka yang dideritanya. Lebih jauh Rumi menyatakan bahawa Cinta memiliki kekuatan luar biasa dalam merubah kepribadian, perasaan dan fikiran manusia. Hal ini dinyatakan dalam sajak berikut:

Kerana cinta duri menjadi mawar
Kerana cinta cuka menjelma anggur segar
Kerana cinta pentungan menjadi mahkota penawar
Kerana cinta kemalangan menjadi keberuntungan
Kerana cinta rumah penjara nampak bagaikan kedai mawar
Kerana cinta timbunan debu kelihatan sebagai taman
Kerana cinta api berkobar menjadi cahaya menyenangkan
Kerana cinta Saytan berubah menjadi bidadari
Kerana cinta batu keras menjadi lembut bagaikan mentega
Kerana cinta duka menjadi riang gembira
Kerana cinta hantu berubah menjadi malaikat
Kerana cinta singa tidak menakutkan bagaikan tikus
Kerana cinta sakit menjadi sihat
Kerana cinta amarah berubah menjadi keramah-tamahan

Cinta juga dapat membawa pergi seseorang ke luar daripada dirinya dan mencapai persatuan rahsia dengan Raja Dunia. Sembahyang yang khusyuk, doa yang diserukan kuat-kuat dalam hati, permohonan taubat yang sungguh-sungguh, dapat membuat seseorang merasa sangat dekat dengan Tuhan dan berpeluang memperoleh petunjuk dan permohonannya dikabulkan. Rumi menulis dalam sajaknya:

Seperti mawar aku tertawa seluruh tubuh, tak hanya mulut, sebab aku berada di luar diriku, bersendiri bersama Raja Dunia.
Kau yang datang pada waktu subuh membawa pelita dan membawa terbang hatiku, bawalah rohku terbang juga, jangan hanya hatiku!
Jangan bikin rohku nanar cemburu, jangan kau pisah ia daripada hatiku; jangan hanya hatiku dipanggil menghadap hadirat-Mu!
Kirimlah pesanan kerajaan, sebar luaskanlah maklumat, o Sultan! Berapa lamakah hatiku akan tinggal di hadirat-Mu, sedangkan rohku tetap sebatang kara?
Apabila malam ini kau tak datang, sebagaimana kemarin, dan bibirku lunglai kerananya, maka aku akan meronta bersama rohku sekuat tenaga, tidak bersendiri aku ini meratap.

Dalam mencapai kebenaran tertinggi atau kebenaran agama, menurut Rumi, jalan Cinta lebih utama dibandingkan jalan Akal atau Pengetahuan. Rumi menulis:

.. Pencinta punya pelindung dalam pembuluh darahnya,
Pencinta sibuk membicarakan Cinta yang tak dapat dibandingkan.
Kata Akal, “Rukun iman yang lima perkara sudah mencukupi, tiada lagi jalan”
Cinta menjawab, “Ada sebuah jalan, berulang kali aku melaluinya!”
Akal melihat pasar, kemudian mulai berjualan
Cinta melihat ada banyak pasar di sebalik pasar akal.
Banyak al-Hallaj mereka temui di sana, mereka meyakini jiwa cinta
Dan menolak mimbar seraya memilih tiang gantungan
Pencinta yang faqir memiliki penglihatan hati penuh pesona
Orang yang hanga mengandailkan pada akal, hatinya gelap, semua disangkalnya
Akal berkata, “ Janganlah kakimu dijejakkan di situ,
Di halaman istana hanya duri yang tumbuh!”
Cinta berkata, “Duri-duri ini semuanya milik akal yang bersarang dalam dirimu!”
Waspadalah dan diam, buanglah duri kehidupan dari telapak kaki!
Supaya kau mendapat pelindung di dalam dirimu.
Shamsi Tabriz! Kaulah matahari dalam awan kata-kata;
Apabila matahari terbit, maka setiap kata pun sirna!

Telah dijelaskan bahawa karya seorang penulis sufi biasanya merupakan tafsir terhadap ayat al-Qur`an, termasuk bentuk peribadatan atau ajaran agama. Dalam sajak berikut Rumi menafsirkan puasa pada bulan Ramadhan bukan saja sebagai bentuk penyucian diri atau pengendalian diri, tetapi juga sebagai ikhtiar untuk memberi peluang kepada jiwa mendapatkan hidangan dari langit yang lebih lezat daripada hidangan (makanan) yang berasal dari bumi.

Bulan puasa telah tiba. larangan raja mulai berlaku: jauhkan tanganmu daripada makanan, hidangan rohani telah disediakan.
Roh telah bebas dari pengasingan dirinya dan menundukkan tangan tabiat jelek; hati yang sesat telah dikalahkan dan perajurit iman telah sampai.
Bala tentera penidur telah menyerah dan segera ditawan, dari bara penyulut api jiwa tiba seraya meratap;
Lembu itu begitu molek, Musa bin Imran muncul; melaluinya si mati hidup semula apabila badannya telah melaksanakan upacara qurban;
Puasa ialah upacara qurban kita, yang menghidupi jiwa; mari kita qurbankan badan kita, kerana jiwa tiba sebagai tamu;
Iman yang teguh ialah awan lembut, kearifan ialah hujan yang tercurah darinya, kerana pada bulan iman inilah al-Qur`an diwahyukan.
Apabila nafsu badani dikawal, roh akan mikraj ke langit; apabila pintu penjara dirubuhkan maka jiwa akan mencapai pelukan Kekasih.
Hati telah menukar tabir gelapnya dan menggerakkan sayapnya ke angkasa; Hati, yang menyerupai malaikat, sekali lagi tiba di tengah mereka.
Tangkaplah tali pengikat tubuhnya, di atas perigi berteriaklah, “Yusuf dari Kana`an telah tiba!”
Pada waktu `Isa Almasih terjatuh dari keledainya maka doanya diterima Allah;
Cucilah tanganmu, kerana Hidangan langit telah tiba;
Cucilah tangan dan mulutmu, jangan makan atau bercakap-cakap; carilah kata dan suapan nasi yang diturunkan untuk dia Si Diam!

Semua ibadah yang dilakukan dengan tulus dan ikhlas oleh seorang pemeluk agama yang teguh merupakan manifestasi daripada cinta. Demikian pula halnya dengan ibadah puasa. Sebagai ibadah, puasa pada bulan Ramadhan merupakan bentuk pengurbanan jiwa. Sememangnya cinta menuntut pengurbanan. Pengurbanan yang dimaksud ialah pengurbanan jiwa dan hati, yang hanya diperuntukkan kepada-Nya.

(Terjemahan Abdul Hadi W. M.)

Sajak di atas merujuk kepada tari dan muzik kerohanian Tarikat Maulawiyah yang diselenggarakan dalam upacara-upacara keagamaan.

Bibliografi
Afzal Iqbal. Life and Work of Rumi. Lahore: Institute of Islamic Culture, 1978.
Abdul Hadi W. M. Rumi, Sufi dan Penyair. Bandung: Pustaka, 1985.
A. J. Arberry. Classical Persian Literature. London: George Allen & Unwin Ltd., 1967.
Seyyed Hossein Nasr. “Jalal al-Din Rumi: Supreme Persian Poet and Sage”. DalamIslamic Art and Spirituality. Ipswich: Golgonoza Press, 1987.p.114-147.

Jangan lupa dukung Mistikus Channel Official Youtube Rumi Sufi Blog dengan cara LIKE, SHARE, SUBSCRIBE:





Terima kasih telah membaca Syair-Syair Rumi dalam Diwan-i Shamsi Tabriz | Silahkan share Syair-Syair Rumi dalam Diwan-i Shamsi Tabriz melalui media sosial. Untuk menyimak posting terbaru silahkan Like Facebook :
| Twitter : | Youtube Channel:
Info :
Sudah berapa lama Anda menahan rindu untuk berangkat ke Baitullah? Melihat Ka’bah langsung dalam jarak dekat dan berkesempatan berziarah ke makam Rasulullah. Untuk menjawab kerinduan Anda, silahkan klik Instagram | Facebook.

Post a Comment Disqus

 
Top